Friday 2 December 2011

Haiwan Melindungi Telur- telur dan Anaknya

1. Haiwan yang menjaga telur-telurnya adalah seperti berikut:

  •  Burung bertelur di dalam sarang yang dibuat di atas pokok. Telur burung dilindungi cangkerang yang keras. Burung mengeramkan telur-telurnya sehingga menetas. Anak-anak burung yang baru menetas dilindungi dan diberi makan sehingga boleh berdikari. 

  • Ayam juga bertelur di dalam sarang. Ibu ayam menjaga dan mengeram telur-telurnya sehingga menetas. Ibu ayam akan menjaga anak-anaknya yang baru menetas, dan menyerang musuh yang cuba mengganggu telur-telurnya dan anaknya.
  • Buaya betina menimbus telur-telurnya di dalam pasir di tepi sungai. Buaya sentiasa menjaga telur-telurnya daripada ancaman musuh. Apabila telur-telur menetas, buaya membawa anak-anaknya di dalam mulut ke tempat yang lebih selamat.
  • Ular betina menjaga telur-telurnya dengan melingkari sekeliling telur. Ular tidak mengeram telur-telurnya. Telur-telur ular dilindungi oleh cangkerang yang keras. Ular meninggalkan anak-anaknya yang baru menetas.
  • Kala jengking betina mambawa telurnya dan anak yang baru menetas di atas badannya selama beberapa hari.
  • Labah-labah menyimpan telur-telurnya di dalam uncang di bawah badannya. Uncang ini sentiasa dibawa oleh labah-labah bagi memastikan telur-telurnya selamat.

2. Mamalia adalah haiwan yang melahirkan anak. Anak-anaknya menyerupai induknya (ibu bapa). Anak-anaknya dilindungi dan diberi makan sehingga mereka cukup kuat dan boleh berdikari.

3. Berikut menunjukkan beberapa contoh cara mamalia menjaga atau melindungi anaknya:

  • Kucing menjaga dan menyusukan anak-anaknya. Kucing akan menggonggong tengkuk anaknya ke tempat yang lebih selamat sekiranya diganggu.
  • Kanggaru membawa anaknya di dalam kantung pada badannya sehingga anaknya cukup dewasa untuk berdikari. Anaknya sentiasa dibawa bersama ke mana-mana sahaja ibunya pergi.
  • Anak ikan paus pula sentiasa berenang di sisi paus jantan dan paus betina untuk mengelak daripada diserang musuh.
  • Gajah, kuda belang dan zirafah hidup secara berkumpulan. Haiwan dewasa akan bersama-sama melindungi anak yang masih kecil.

8 comments: